| YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia (tengah) pada Majlis Pelancaran Lembut Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) & BuildXpo 2026. Bersama beliau ialah (dari kiri): Sr. Ahmad Farrin Mokhtar, Pengurus Besar Kanan, CIDB Malaysia; Encik Michael Wilton, Ketua Pegawai Eksekutif, MMI Asia Pte Ltd; Dato’ Zainal Alhakab bin Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan), Kementerian Kerja Raya Malaysia; dan Encik Richard Teo, Pengerusi Eksekutif, Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd. |
KUALA LUMPUR, 11 Februari 2026 – International Construction Week (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 kembali dianjurkan tahun ini dengan momentum baharu menerusi tema ‘Beyond Limits’, selaras dengan usaha industri pembinaan memacu inovasi, pendigitalan dan kerjasama strategik bagi mencapai pertumbuhan mampan.
Acara utama akan berlangsung dari 10 hingga 12 November 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, manakala ICW Borneo 2026 akan dianjurkan lebih awal pada 12 hingga 13 Mei 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, sekali gus memperkukuhkan usaha mengeratkan jaringan dan keterhubungan industri antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube), ICW dan BuildXpo terus berperanan sebagai antara platform paling berwibawa di peringkat serantau bagi pertukaran ilmu, penglibatan industri serta kolaborasi perniagaan dalam ekosistem persekitaran binaan.
Memacu Industri Melangkaui Batasan
Dalam pelancaran awal tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, menegaskan kepentingan inovasi dan kolaborasi dalam membentuk masa depan industri pembinaan: “International Construction Week telah menjadi platform tahunan utama bagi industri pembinaan sejak penubuhannya pada tahun 1999. Seiring dengan peredaran masa, penganjuran ini telah berkembang menjadi titik pertemuan penting bagi pemain industri di Malaysia dan seluruh rantau untuk mempamerkan inovasi, bertukar pengetahuan serta meneroka peluang baharu dalam industri. Acara sebegini menyeru industri
untuk mengadaptasi teknologi baharu, melaksanakan penyelesaian infrastruktur yang lebih pintar serta memperkukuh pertukaran pengetahuan teknikal yang lebih mendalam kerana semua ini adalah penting dalam memacu masa depan ekosistem persekitaran binaan yang berdaya tahan dan mampan.” Tema 2026 ini mencerminkan evolusi berterusan sektor pembinaan, merangkumi teknologi digital, bahan mampan, penyampaian infrastruktur yang lebih pintar serta kerjasama serantau bagi membentuk ekosistem persekitaran binaan yang berdaya tahan dan bersedia masa hadapan.
Pemerkasaan Kerjasama Strategik Industri
Sorotan utama bagi 2026 adalah kolaborasi strategik antara CIDB Malaysia, Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. dan MMI Asia yang menghimpunkan pameran saling melengkapi bagi meningkatkan nilai kepada industri. Buat julung kalinya, Glasstech Asia & Fenestration Asia akan dianjurkan bersama ICW dan BuildXpo 2026 di MITEC. Platform bersepadu ini membolehkan pemain industri meneroka inovasi merangkumi teknologi pembinaan, sistem fasad, aplikasi kaca serta penyelesaian bangunan mampan dalam satu lokasi.
Encik Richard Teo, Pengurusi Eksekutif, Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd., berkata: “Seiring dengan peredaran masa, ICW dan BuildXpo telah berkembang melangkaui peranannya sebagai satu pameran atau persidangan semata mata. Ia kini berfungsi sebagai hab penting industri yang menghimpunkan penggubal dasar, inovator, para usahawan dan profesional untuk bertukar pandangan, meneroka penyelesaian serta membentuk hala tuju masa depan industri pembinaan. Menjelang penganjuran ICW dan BuildXpo 2026 menerusi tema ‘Beyond Limits’, tumpuan kami kekal jelas, iaitu untuk terus memperkasakan platform ini agar mampu memberikan nilai tambah kepada industri, menyokong penerapan inovasi serta memperkukuh keterhubungan serantau merentasi ASEAN dan seterusnya.” Encik Michael Wilton, Ketua Pegawai Eksekutif, MMI Asia Private Limited, berkata: “GAFA telah membina jaringan serantau yang kukuh menerusi penganjuran beberapa edisi di Jakarta, Bandar Ho Chi Minh, Bangkok dan Singapura, dengan peranan berterusan sebagai platform khusus yang menghubungkan profesional industri bagi perkongsian idea serta pengukuhan sektor kaca dan fasad serantau. Penyertaan GAFA bersama ICW dan BuildXpo pada tahun ini mewujudkan sebuah platform bersepadu yang menyatukan kepakaran industri, pembangunan projek dan inovasi sektor. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama, malah memperluas pertukaran pengetahuan merentas disiplin sejajar dengan keperluan industri pembinaan moden yang semakin saling berhubung.”
ICW Borneo 2026 Memperluas Keterlibatan Industri Serantau
Susulan kejayaan penganjuran edisi sulung Borneo pada tahun lalu, ICW Borneo 2026 akan dianjurkan di Sabah sebagai kesinambungan usaha memperkukuh penglibatan dengan ekosistem industri pembinaan di Malaysia Timur. Penganjuran ini akan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur serantau, amalan pembinaan mampan serta peluang kolaborasi merentasi landskap industri pembinaan Malaysia yang pelbagai.
Sorotan Utama ICW dan BuildXpo 2026
Program tahun ini bakal menampilkan:
• Pameran perdagangan komprehensif yang mempamerkan teknologi, bahan dan penyelesaian pembinaan terkini
• Persidangan, forum dan sesi teknikal yang memfokuskan kepada pendigitalan, kemampanan dan transformasi industri
• Peluang padanan perniagaan serta jaringan serantau
• Platform pengiktirafan industri yang mengetengahkan inovasi, kecemerlangan dan amalan terbaik
Keseluruhannya, elemen ini memperkukuh kedudukan ICW dan BuildXpo sebagai platform yang menyatukan peluang komersial, perkongsian pengetahuan teknikal dan kepimpinan pemikiran industri.
Memacu Kemajuan Industri Bersama
CIDB Malaysia bersama rakan strategiknya menjemput para profesional pembinaan, penggubal dasar, inovator, ahli akademik serta pemegang taruh industri untuk menyertai ICW dan BuildXpo 2026 serta ICW Borneo 2026. Dengan penekanan terhadap inovasi, kemampanan dan kolaborasi serantau, ICW dan BuildXpo 2026 berhasrat menjadi pemangkin kepada dialog bermakna, pembentukan perkongsian strategik serta kemajuan berterusan yang akan membentuk masa depan industri pembinaan di Malaysia dan merentasi ASEAN.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, sila layari https://icw.my/
|