Copyright 2024 by Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) 200401008385 (646889-V)
 
 

News & Announcements

12 teknologi baharu industri pembinaan dikenal pasti CIDB

 
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengenalpasti 12 teknologi baharu untuk digunakan dalam industri pembinaan tempatan.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, berkata selain sistem binaan berindustri (IBS) dan Model Bangunan Bermaklumat (BIM), 10 lagi teknologi sedang dipromosikan bagi menangani isu kualiti, keselamatan dan kemampanan.

“Teknologi baharu khususnya dapat menyokong asas kelestarian dan kita promosikan. Langkah penggunaan teknologi baharu muncul ini menggunakan bahan inovatif akan menghasilkan banyak perbezaan dari segi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan YTL Cement di sini, hari ini.
Turut serta, Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh; dan Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, Ir M Ramuseren.

Sementara itu, Yeoh berkata, aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah perkara yang sangat penting di seluruh dunia. Katanya, semua pihak memberi tumpuan kepada aspek ESG bagi menyokong permintaan baharu membabitkan bahan binaan dan keperluan pengawal seliaan berhubung pembinaan hijau bagi menyumbang dari aspek produk dan modal insan lebih mesra alam.

“YTL Cement telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia selama lebih 70 tahun, dan kami mahu terus menyokong pembangunan dan keperluan pembinaan negara.
“Kerjasama dengan CREAM membabitkan kerjasama selama 10 tahun ini memberi peluang kepada kami untuk menyumbangkan kepakaran dan pengalaman kami bagi menyokong CIDB dalam inisiatif pelbagai mereka,” katanya.

Sementara itu, CREAM, sebuah institut di bawah CIDB yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan industri pembinaan menjalin kerjasama dengan YTL Cement bagi menyokong peralihan industri pembinaan negara ke pembinaan mampan.
MoU itu melambangkan titik tolak kerjasama yang bermakna antara kerajaan dan industri untuk mencapai kecemerlangan industri pembinaan dan membudayakan amalan pembinaan lestari, selaras dengan aspirasi neutral karbon negara menjelang tahun 2050.  -BERITA HARIAN

SUMBER: BULETIN TV3
 
Copyright 2024 by Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) 200401008385 (646889-V)
Google Site Search