Berita & Pengumuman

Penambahbaikan di CIDB, ABM lahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir

KUCHING, 12 Dis: Penambahbaikan kemudahan yang dilaksanakan di Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini akan memperkasakan lagi usaha melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau bangga melihat kemudahan-kemudahan yang tersedia di pusat itu, sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih banyak tenaga mahir. Bagaimanapun, masih banyak lagi komponen lain yang perlu ditambah untuk perkhidmatan yang lebih baik, katanya.

Menurutnya, untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja binaan yang mahir, mereka perlu mengikuti program-program latihan disediakan ABM.
“Saya kagum dengan apa (program latihan) yang disenaraikan yang bertujuan agar mereka ini (para pelatih) mendapat kemahiran tertentu seperti elektrikal, sivil dan banyak lagi,” katanya pada sidang media bersempena dengan lawatan rasmi beliau ke CIDB Sarawak, ABM dan CIDB Tech Wilayah Sarawak, di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi CIDB, Yusuf Abd Wahab.
Jumlah statistik data pengeluaran pekerja mahir binaan bagi keseluruhan ABM dan CIDB Techologies dari 2001 hingga 15 September 2022, ialah seramai 403,506 orang.

Terdahulu, beliau dibawa melawat ke Pameran Mini ABM, Rumah Contoh menggunakan Teknologi 3D Printing, Makmal Kerja Raya Malaysia Cawangan Sarawak dan Makmal BIM.

Antara yang menarik minat beliau ialah Rumah Contoh menggunakan Teknologi 3D Printing. Katanya, teknologi tersebut akan mempercepatkan dan memperhalusi kerja-kerja pembinaan jika dibandingkan dengan kaedah konvensional.

Rumah Contoh menggunakan Teknologi 3D Printing ini merupakan kerjasama antara CIDB melalui anak syarikatnya CIDB IBD dan ABM Sarawak bersama pemain industri iaitu Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB).

3D Printing adalah kaedah untuk mengeluarkan elemen pembinaan atau keseluruhan bangunan dengan menggunakan pencetak 3D bagi mencetak konkrit lapisan demi lapisan.
Pembinaan rumah contoh menggunakan teknologi terkini iaitu 3D Printing adalah sebagai bukti industri pembinaan di Malaysia mengikuti perkembangan dan trend terkini.
Pembinaan rumah contoh ini akan menjadi pusat rujukan di seluruh Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa beliau akan bertemu dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Selasa untuk membincangkan lebih lanjut berkenaan perkara ini. – TVS